Abang hutang along SD300, adik rugi RM130,000

Hang Lim (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salinan laporan polis dan foto dikhianat dengan api, selepas sidang akhbar di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Rabu.
Hang Lim (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salinan laporan polis dan foto dikhianat dengan api, selepas sidang akhbar di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang operator kilang trauma dengan ancaman along dari Singapura selepas abangnya meminjam wang pada Jun lalu.

Mangsa, Heng Hang Lim, 41, yang bekerja di sebuah kilang di Singapura terpaksa menanggung kerugian lebih RM130,000 akibat perbuatan khianat ceti haram tersebut selepas abangnya meminjam SD300.

Bapa kepada dua anak itu berkata, keganasan along itu bermula apabila abangnya yang bekerja sebagai kontraktor di negara jiran itu hanya membayar SD100 selepas meminjam sebelum dia dan keluarga menjadi sasaran.

"Along terbabit mula membuat ugutan kepada saya dan keluarga. Antara ugutan itu termasuklah membaling cat dan membakar rumah dan dua kenderaan saya menggunakan molotov koktel.

"Kejadian itu berlaku pada 19 Julai tahun lalu di mana sebahagian rumah berserta kedua-dua kereta jenis KIA milik saya musnah terbakar.

"Akibat kejadian tersebut, saya mengalami kerugian harta benda bernilai RM130,000," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Tebrau, di Ulu Tiram, di sini pada Rabu.

Hang Lim berkata, along terbabit kemudian turut membuat ugutan dengan meminta dia meminjam wang daripada sindiket berkenaan.

"Kerana bimbang dengan ugutan tersebut, saya membuat tiga transaksi Disember lalu dengan memasukkan wang berjumlah RM16,500 dengan harapan along itu tidak akan mengganggu saya lagi, namun mereka tetap membuat ugutan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah tegaskan bahawa saya dan keluarga tidak terlibat dengan urusan peminjaman wang oleh abang saya namun along itu masih mengugut saya. Saya risau kerana mempunyai dua anak kecil masing-masing berusia 1 dan 3 tahun," ujarnya.

Sehubungan itu, dia nekad tidak mahu lagi dikaitkan dengan abang kandungnya yang berusia 43 tahun itu dan kali terakhir mereka berkomunikasi adalah pada 16 Disember lalu.

Menurut Hang Lim, apabila ditanya mengapa membuat pinjaman berkenaan, abangnya enggan menjawab dan hanya memaklumkan dia berbuat demikan kerana diminta along terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse pula menasihati orang ramai khususnya mereka yang terdesak memerlukan wang untuk membuat pinjaman dengan syarat kewangan berdaftar seperti pihak bank.

"Sekiranya mereka meminjam dengan along walaupun jumlahnya kecil, pasti akan ada penipuan sehingga menyebabkan jumlah yang harus dibayar bertambah sehingga menjadi tidak munasabah," ujar beliau.

Akibatnya kata Wee Tse, bukan sahaja peminjam tetapi ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat akan menjadi mangsa ugutan along berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!