Sekatan perjalanan: IATA gesa kerajaan ikut saranan pakar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk mendengar saranan pakar termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya tidak melaksanakan sekatan perjalanan.

Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata, beberapa negara memperkenalkan ujian Covid-19 serta pendekatan lain kepada pengembara dari China meskipun virus itu telah merebak luas di sempadan negara masing-masing.

"Tidak wajar untuk melihat langkah spontan ini kembali dilaksanakan yang ternyata tidak berkesan sejak tiga tahun lepas.

"Kerajaan perlu membuat keputusan berpandukan ‘fakta sains’ berbanding ‘politik sains,’ ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walsh berkata, penyelidikan yang dijalankan semasa ketibaan varian Omicron mendapati pelaksanaan sekatan dari segi perjalanan tidak memberi perbezaan ketara terhadap penularan tempoh puncak jangkitan.

Menurutnya, sekatan perjalanan hanya melewatkan tempoh puncak selama beberapa hari, dan sekiranya varian baharu menular di mana-mana negara di dunia, keadaan yang serupa dijangka berlaku.

"Itulah sebabnya kerajaan perlu mendengar nasihat daripada kalangan pakar termasuk WHO yang menasihatkan untuk tidak mengenakan sekatan perjalanan.

"Kita mempunyai alat untuk menguruskan Covid-19 tanpa melaksanakan langkah tidak berkesan yang memutuskan kesalinghubungan antarabangsa, memusnahkan ekonomi dan menghapuskan pekerjaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!