Hak anak-anak terima pendidikan prasekolah
PENDIDIKAN awal sememangnya penting bagi kanak-kanak dalam usaha membangunkan asas dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Disebabkan itulah, ibu bapa harus peka dan menitikberatkan pendidikan awal untuk anak masing-masing supaya mereka boleh mendapat manfaat pendidikan tersebut sepenuhnya.
Bagaimanapun, jumlah pusat pendidikan awal kanak-kanak di negara ini masih belum mencukupi untuk menampung permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan bandar.
Sebenarnya, ia bukanlah masalah baharu, cuma ia tidak dibangkitkan selama ini.
Apa yang dapat dikongsi di sini, sebenarnya senario untuk menempatkan anak-anak di kelas prasekolah milik kerajaan berpandukan siapa cepat dia dapat walaupun perlu menghantar permohonan seperti untuk memasuki Tahun Satu.
Bagi ibu bapa yang permohonannya berjaya, sudah pasti gembira kerana mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk persekolahan anak.
Namun, bagaimana pula dengan ibu bapa yang permohonannya tidak diluluskan kerana kuota telah mencukupi?
Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Fadhlina Sidek diharap dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Ini kerana saban tahun jumlah kanak-kanak yang memasuki prasekolah semakin meningkat tetapi fasiliti sedia ada masih tetap di angka yang sama.
Dengan kos sara hidup semakin meningkat pada hari ini, ditambah pula gaji ibu bapa mungkin masih berada di takuk lama, masalah yang datang bagaikan bertimpa-timpa.
Ia menyebabkan ada segelintir ibu bapa tiada pilihan lain. Mereka terpaksa juga menghantar anak ke tadika swasta agar mereka tidak keciciran, seiring dengan kurikulum sedia ada.
Itulah caranya ibu bapa memberikan semangat kepada anak-anak untuk belajar sepanjang hayat, mengembangkan kemahiran sosial dan menggalakkan perkembangan motor serta deria halus.
Begitupun, pilihan di tangan ibu bapa, tepuk dada tanyalah selera. Walaupun laporan akhbar pada Selasa menyatakan kerajaan menyasarkan untuk memperluaskan prasekolah di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun, namun eloklah kiranya tempoh tersebut dikaji semula.
Semoga KPM dapat mengotakan janji dengan mempercepatkan sebarang dasar berkaitan perkara berkenaan seperti yang diumumkan oleh menterinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!