Kane cipta sensasi
HARRY Kane mencipta sensasi apabila membuat penampilan ke-300 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu Tottenham Hotspur membenam Crystal Palace 4-0 pada Khamis.
Kapten Spurs itu turut meledak dua gol dalam aksi 'derby' London di Selhurst Park tersebut.
Jaringan itu membantu Kane menghampiri rekod milik Jimmy Greaves sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs.
Pemain pertahanan, Matt Doherty dan Son Heung-min melengkapkan kemenangan Spurs selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama.
Kane membuka tirai jaringan dengan meledak gol ke-264 untuk Spurs dalam semua kejohanan berbeza dua jaringan di belakang rekod milik Greaves.
Kemenangan itu yang juga pertama buat Spurs selepas rehat Piala Dunia ketinggalan dua mata di belakang Manchester United yang menduduki tangga keempat.
"Ia kemenangan yang sangat penting. Kami gagal mendapat keputusan baik selepas kembali dari Qatar dan keputusan ini sangat melegakan.
"Ia mengenai menggerakkan bola dengan cepat, berlari di belakang dan kualiti pada hantaran akhir. Ia sangat hebat," ujar Kane.
Kedua-dua pasukan akan mengalih fokus kepada aksi pusingan ketiga Piala FA pula.
Spurs bakal menerima kunjungan Portsmouth dan Palace menentang pencabar EPL, Southampton di tempat sendiri pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!