Ceroboh Menara Merdeka 118: Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial
KUALA LUMPUR - Polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang memuat naik hantaran mengenai pencerobohan Menara Merdeka 118.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, laporan mengenai butiran itu sedang dalam tindakan pihak SKMM.
Menurutnya, hantaran di media sosial itu perlu disahkan terlebih dahulu sama ada ia milik pasangan warga Rusia yang mendakwa memanjat menara terbabit.
"Siasatan masih dijalankan dan kita akan dapatkan laporan dari SKMM dahulu mengenai butiran akaun media sosial terbabit sama ada ia milik warga Rusia itu atau sebaliknya.
"Setelah laporan ini diperolehi, perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengetahui sama ada terdapat rekod keluar dan masuk oleh warga Rusia terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, setakat ini polis telah merekod sembilan keterangan individu termasuk pihak menara terbabit.
Polis sebelum itu menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee, pada 29 Disember.
Disember tahun lalu, tular gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!