Pemberian autonomi diharap selesai isu infrastruktur di Sabah
SHAH ALAM - Pemberian hak autonomi kepada Sabah oleh kerajaan Persekutuan bagi projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta diharapkan dapat menyelesaikan isu infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, kemudahan jalan raya dan internet di negeri tersebut.
Menurut Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus, perkara tersebut penting kerana ia berkait rapat dengan rutin rakyat Sabah.
Ujar beliau, kerajaan negeri juga dimohon untuk tidak melupakan tumpuan projek penambahbaikan fasiliti sekolah terutamanya kawasan pedalaman.
“Perihal keperluan fasiliti pendidikan ini diharapkan dapat dimasukkan dalam permohonan peruntukan khas yang bakal dibincangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam waktu yang terdekat.
“Seterusnya projek yang bertumpu di sekolah haruslah dikaji, dinilai dan dicerakinkan semula realiti masalah yang dialami oleh pihak sekolah tersebut agar ia boleh membantu menyelesaikan isu pendidikan setempat dan ditambah baik lagi demi meningkatkan minat pelajar datang ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Hajiji menyifatkan keputusan pemberian autonomi tersebut sebagai berita baik menurut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau, ia dapat membantu memudahkan kerajaan negeri daripada segi kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan dengan mengurangkan kerenah birokrasi yang rumit.
Sementara itu, Mohd Nur Hilmie menambah, pemberian autonomi berkenaan diharapkan dapat mengukuhkan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
“ABIM Sabah meletakkan harapan agar dengan usaha murni yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri ini sentiasa mendapat sambutan dan sokongan dari Kerajaan Negeri Sabah, selanjutnya dapat mengeratkan hubungan dan memacukan semangat perpaduan di antara Negeri dan Persekutuan dalam hal pembangunan Negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Selain itu, ABIM Sabah suka untuk mengingatkan kepada pihak agensi yang terlibat dalam pengurusan peruntukan tersebut agar menjaga ketelusan dan tatakelola urus tadbir kewangan yang baik agar perbelanjaan projek dapat dioptimumkan sepenuhnya tanpa ada kebocoran atau keciciran berlaku,” ulas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!