KSM tumpu gerak kerja perkasa TVET
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini menggerakkan kerja yang lebih komprehensif dalam memastikan agenda memartabatkan dan memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember lalu untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada KSM.
Menurutnya, KSM bersedia menggalas peranan tersebut melalui sokongan ekosistem TVET inklusif meliputi agensi kawal selia TVET, penyedia latihan dan pembiaya dana latihan sedia ada serta kerjasama kukuh semua pemegang taruh TVET di pihak kerajaan dan swasta.
“Transformasi dan penjenamaan TVET secara holistik akan dilakukan menerusi suntikan sinergi-sinergi baharu yang berperanan memadamkan stigma negatif terhadap TVET dan seterusnya membawa paradigma baru TVET yang berpotensi menawarkan peluang kerjaya dan pendapatan tinggi pada masa hadapan.
“Bersandarkan kepada kepelbagaian program TVET dan kemudahan akses yang ditawarkan ketika ini, TVET menjadi wadah terbaik untuk rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan sejajar dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pemacu kemajuan negara, agenda memartabat dan memperkasa TVET nasional menjadi fokus utama KSM dalam usaha menjadikan ia sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.
TVET katanya, berperanan sebagai solusi serampang dua mata kerajaan dalam melahirkan modal insan tempatan berkemahiran dan seterusnya menjadi pelengkap persiapan negara untuk berhadapan dengan transisi populasi.
“Selaku Sekretariat MTVET, KSM amat mengharapkan komitmen dan percambahan idea yang konstruktif secara berterusan daripada semua pemegang taruh yang terlibat.
“Ia bagi memastikan strategi dan inisiatif agenda memartabatkan TVET nasional secara holistik dapat dibangunkan dan seterusnya penyelesaian berkaitan isu dan cabaran pelaksanaan TVET dapat dirungkaikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!