PN yakin bolot 33 kerusi DUN Kedah
ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin akan membolot 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan prestasi yang dicapai PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Menurutnya, walaupun Pakatan Harapan (PH) akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN itu nanti, ia tidak akan menggugat prestasi PN sama sekali.
"PH akan bekerjasama dengan BN seperti yang sudah berlaku di peringkat Persekutuan, di peringkat negeri pun akan berlaku benda yang sama.
"Kalau undi PH campur dengan undi BN, PN menang lagi, mereka boleh menang tiga kerusi sahaja, Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Amanat kepada penjawat awam Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, momentum parti setakat ini juga memberangsangkan dan bertambah tinggi dari sehari ke sehari.
"Momentum itu akan sentiasa bertambah, tidak akan pudar sama sekali, kita juga buat kerja sehabis baik yang mana kita boleh buat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!