15 ekor gajah ceroboh kawasan perumahan cari makanan

Kelibat kawanan gajah di kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul pada Isnin.
Kelibat kawanan gajah di kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul pada Isnin.
A
A
A

TEMERLOH - Kakitangan dan penduduk di kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul di sini dikejutkan dengan kehadiran sekawan gajah pada Isnin lalu.

Penduduk, Ahmad Najamudin Ahmad Shahar, 36, mendakwa, dia melihat 15 ekor haiwan liar itu menceroboh kawasan perumahan tersebut.

Menurutnya, dia dan isteri, Wan Nur Afni Wan Rosli, 35, serta beberapa jiran melihat kumpulan gajah terbabit keluar dari Hutan Simpan Kemasul dan mula memasuki kawasan itu pada 6.50 petang merayau mencari makanan.

"Kami melihat pergerakan haiwan itu kira-kira 20 minit sebelum kembali masuk ke dalam Hutan Simpan Kemasul dengan jarak kira-kira 15 meter dengan kawanan tersebut.

"Hanya seekor gajah jantan yang mempunyai gading dilihat bertindak agresif dan cuba menyerang kami.

"Ini kali pertama saya melihat gajah liar dengan jumlah yang banyak (15 ekor), kami seolah berada dalam zoo di luar negara yang terdapat banyak gajah dalam satu kawasan," kata Ahmad yang sudah empat tahun menetap di situ.

Ujar Ahmad lagi, kumpulan gajah tersebut sekali lagi menceroboh kawasan perumahan itu kira-kira jam 10 malam hari yang sama.

"Ada beberapa ekor (gajah) berada di hadapan rumah saya sambil mencabut pokok palma dan pisang kipas.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini pernah beberapa kali melihat gajah Hutan Simpan Kemasul namun tidak sebanyak kali ini," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Nazri berkata, sebelum ini haiwan berkenaan menceroboh kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul pada waktu malam namun berbeza kali ini apabila muncul pada waktu petang.

"Kali ini banyak kerosakan ditemui pada pagar serta pokok yang menjadi hiasan dalam kawasan pejabat.

"Sebelum ini saya difahamkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah menangkap dan memindahkan beberapa gajah di Hutan Simpan Kemasul," jelasnya.

Menurut Nazri lagi, kumpulan haiwan liar itu menceroboh kawasan tapak semaian pejabat tersebut sebanyak dua kali tahun lalu.

Sementara itu, Perhilitan dalam kenyataannya mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 45 ekor gajah di Hutan Simpan Kemasul yang bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bersempadan dengan hutan simpan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!