De Gea mahu kekal lama di Old Trafford
PENJAGA gol sensasi, David de Gea optimis bakal memeterai perjanjian baharu dengan Manchester United ketika kontraknya bersama The Red Devils dijangka berakhir hujung musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu menaruh harapan untuk menghabiskan kariernya di Old Trafford ketika United mempunyai pilihan melanjutkannya untuk tempoh setahun atau sebaliknya.
United awal bulan ini memeterai perjanjian baharu dengan Marcus Rashford, Luke Shaw, Diogo Dalot dan Fred, namun penjaga gol kelahiran Sepanyol itu menjangkakan tiada masalah untuk mengikuti langkah serupa.
“Saya sangat tenang dan hanya fokus kepada latihan, beraksi sebaik mungkin. Apa yang pasti, ia akan berakhir dengan cara yang baik,” katanya.
De Gea tetap positif di sebalik hasratnya untuk kekal bersama United kerana dia sangat gembira berada di Old Trafford.
“Saya berharap untuk kekal di sini sepanjang karier. Saya pernah mengatakan bahawa ini adalah kelab saya.
“Saya telah berada di sini bertahun lamanya dan adalah menjadi satu penghormatan besar untuk berada di sini dan saya juga sangat gembira di sini,” katanya.
Selepas permulaan musim yang perlahan, United mula menyerlah di bawah bimbingan Erik ten Hag apabila belum bolos di tempat sendiri dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak kemenangan 3-1 ke atas Arsenal pada September lalu.
Aksi cemerlang di benteng pertahanan meletakkan kelab itu menghuni tempat keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 35 mata hasil daripada 17 perlawanan.
United berkelebihan dua mata di hadapan Tottenham dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara selain mencerminkan peningkatan ketara prestasi mereka berbanding musim lalu.
Justeru, De Gea menganggap semangat berpasukan sebagai titik kebangkitan mereka berbanding musim lalu.
"Kami boleh mengatakan semua orang sudah bersedia, fokus, berlatih dengan sangat baik dan menuju ke arah yang sama.
“Tidak kira siapa yang diturunkan termasuk pemain gantian, mereka mengerah segala kudrat ketika di atas padang. Kami mempunyai semangat berpasukan yang hebat dan bagi saya ia bagus untuk melihat pemain beraksi dengan cara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!