Fahmi arah SKMM selesai segera masalah capaian internet
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan supaya bertindak segera berhubung aduan orang ramai yang menghadapi gangguan liputan komunikasi dan capaian internet.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, permasalahan itu harus diteliti sepenuhnya oleh pihak berkenaan.
"SKMM perlu lihat masalah ini," ciapannya di Twitter pada Khamis.
Susulan itu, netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gangguan capaian internet dengan meninggalkan komen-komen di hantaran berkenaan.
"Yang Berhormat, minta tolong juga pantau di Platinum Splendour Semarak. Talian Celcom sama macam ini, sudah setahun aduan dibuat tetapi tiada tindakan padahal lima minit sahaja dari KLCC," komen pengguna Twitter bernama Ennis.
"Tempat kami di kawasan Tongod, Sandakan, Sabah juga sama. Saya sudah bosan asyik buat laporan kepada SKMM, sudah tiga kali tetapi hasil tetap sama," kata pengguna Twitter bernama Hanzo Matunzo.
Cikgu Politik pula dalam ruangan komen merayu agar masalah ini segera di selesaikan.
"Tolonglah, jangan lagi rakyat perlu panjat pokok untuk buat tugasan (assignment), kita sudah masuk 2023, sudah empat Perdana Menteri kami tukar dan tiga kerajaan, tapi hasil masih sama. Tak kan ini pun rakyat yang kena selesaikan.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter, haha2614 turut melahirkan rasa terkilan dengan capaian internet di Ampang.
"Jenuh dah buat aduan, liputan U Mobile teruk di kawasan rumah dekat ampang. Setiap tahun buat aduan tetapi sama juga. Rasa rugi pula namun terpaksa, asyik isi borang, macam ini 8G pun tiada guna.
Pengguna Twitter bernama Halim memohon agar capaian internet di kawasannya diperiksa.
"Tolong periksa internet di kawasan 72200 Felda Pasoh 3 sekali. Orang sudah membuat laporan tetapi tiada tindakan," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, syarikat telekomunikasi mudah alih, Celcom Axiata Berhad (Celcom) turut memberi maklum balas dan memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pengguna.
"Maaf atas isu yang dialami. Awak juga boleh semak status talian 'network status' dekat website kami. Awak boleh click link di bawah atau awak terus hubungi (Direct Messager) kami.
"Mesej kami nombor telefon dan alamat penuh di lokasi tersebut untuk semakan lanjut," kata syarikat itu melalui ciapan Twitter miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!