Kebakaran Wisma Jakel: Polis tunggu laporan siasatan JBPM
SHAH ALAM - Polis masih menunggu hasil siasatan penuh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berhubung kebakaran di Wisma Jakel di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya belum membuka sebarang kertas siasatan berhubung kejadian.
"Setakat ini, tiga individu terdiri daripada seorang pekerja pembersihan di Wisma Jakel, seorang individu awam dan seorang anggota polis telah diambil keterangan awal berhubung kejadian.
"Bagaimanapun, kertas siasatan belum dibuka memandangkan pihak polis perlu menunggu hasil laporan penuh berkaitan punca kejadian dari pihak JBPM," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya wujud unsur-unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Sebelum ini, pada 3 Januari lalu, polis menerima tujuh laporan polis berkaitan kes kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, termasuk melibatkan kejadian terbaharu tengah malam Isnin.
Dalam kejadian pertama pada jam 7.08 pagi Ahad, kebakaran bangunan di Wisma Jakel itu telah mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan hampir RM100 juta.
Bagaimanapun, pada jam 12.40 tengah malam Selasa, kejadian kebakaran kedua pula berlaku membabitkan bilik simpanan kain langsir di wisma terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!