Tiada pindaan perlembagaan untuk halang pertandingan
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pindaan dilakukan dalam Perlembagaan UMNO bagi membolehkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, kedua-dua jawatan tertinggi itu perlu dipertandingkan dan tiada siapa yang boleh menghalang mana-mana individu yang ingin bertanding.
Menurutnya, walaupun ada kalangan pimpinan UMNO yang tidak mahu jawatan itu dipertandingkan demi menjaga keharmonian parti, ia perlu dilaksanakan.
“Apa yang menjadi kebimbangan kita adalah sekiranya ada pihak yang menaja pihak tertentu untuk melawan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dan menghuru-harakan parti. Adakah adil untuk kita teruskan benda (pertandingan) itu?
“Itu apa yang saya dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Pengerusi UMNO Johor) nampak dan kita suarakan sebelum ini.
“Mengikut Perlembagaan UMNO, kita tak boleh elak dan halang sesiapa untuk bertanding. Jadi, kalau ada usul pun, nak buat macam mana? Kecuali kita pinda perlembagaan.
“Tapi kita tak boleh pinda perlembagaan. Maksudnya, dalam tempoh empat atau lima bulan ini, akan ada pertandingan. Itu bukan isu lagi. Jadi, sesiapa yang bawa isu itu, bagi saya dia sajalah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari Ketua Penerangan UMNO Malaysia bersama Agensi Media di Pusat Dagangan Dunia pada Khamis.
Isham turut menegaskan, tiada mana-mana pihak daripada parti itu yang pernah menyuarakan akan meminda perlembagaan, sebaliknya sentimen itu dimainkan oleh pembangkang.
“Pasal pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden ini, saya sebut bahawa yang bawa cerita ini bukan kita tetapi orang-orang PN sebab mereka nak kita bertelagah. Mereka tahu kalau jawatan ini tidak dipertandingkan, maka akan lebih ramai bertelagah.
“Saya sudah buat kenyataan sebelum ini, tiada siapa yang kata kita akan pinda perlembagaan sebab benda ini (pertandingan) perlu ada pindaan," ujarnya.
Tambahnya, walaupun ramai yang menuding jari kepada parti itu tentang pemilihan, tetapi UMNO tetap berjiwa besar dan mengamalkan demokrasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!