KBS, PSM bincang isu baki 21,000 tiket Piala AFF - Hannah

Hannah (dua dari kanan) dan Adam Adli (tiga dari kanan) meninjau fasiliti yang terdapat di Institut Sukan Negara (ISN) ketika mengadakan lawatan ke ISN, pada Khamis. - Foto Bernama
Hannah (dua dari kanan) dan Adam Adli (tiga dari kanan) meninjau fasiliti yang terdapat di Institut Sukan Negara (ISN) ketika mengadakan lawatan ke ISN, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang berbincang dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengenai isu 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil yang terpaksa ‘dikosongkan’ bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF, Sabtu ini.

Dengan kesemua 59,000 tiket yang dibuka semalam habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam secara dalam talian, menterinya, Hannah Yeoh berkata, kedua-dua pihak sentiasa berusaha membantu penyokong tempatan berpeluang menyaksikan perlawanan tersebut.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan juara bertahan Thailand pada aksi separuh akhir pertama dijadual berlangsung 8.30 malam, Sabtu ini.

"Saya telah bincang dengan PSM mengenai masalah, iaitu kita ada pertembungan dua acara besar dalam masa satu minggu ini. Kita sentiasa berusaha sebaik dan semampu yang boleh untuk menaikkan semangat penyokong sukan di Malaysia.

"Setakat ini, kita masih dalam perbincangan, itu sahaja yang saya boleh cakap. Apabila sudah sedia, kita akan berikan maklumat mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, pada Khamis.

Terdahulu, beliau dan timbalannya Adam Adli Abd Halim, turut mengadakan lawatan ke Stadium Nasional di sini, bagi meninjau venue berkenaan dan membincangkan mengenai isu tiket aksi Piala AFF itu.

Semalam, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata, 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Konsert artis terkemuka dari Taiwan itu, akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik menentang Thailand di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada 10 Jan.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa manakal Vietnam selaku juara kumpulan dengan 10 mata. Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan ke atas insiden seorang jurulatih bola tampar menampar dua pemain remaja akan dilakukan dengan mendalam menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Siasatan masih berjalan, siasatan bukan sama ada tamparan itu berlaku atau tidak, kita semua nampak. Siasatan ini lebih mendalam melihat kepada amalan selama ini dalam pasukan itu.

"Kita akan dedahkan hasilnya apabila siasatan selesai," katanya ketika ditanya mengenai video tular memaparkan tindakan seorang jurulatih pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.

Pada Rabu, jurulatih berkenaan, Saiful Hadee Amar, 44, memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!