Terminal pengangkutan awam jadi transit seludup PATI
KUALA LUMPUR - Menjadikan terminal pengangkutan awam sebagai lokasi transit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) antara taktik yang dikesan menerusi tangkapan 11 warga asing di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Sindiket bertindak meletakkan seorang individu dipercayai sebagai ejen untuk menunggu bas tiba di terminal sebelum menguruskan PATI untuk dihantar ke lokasi yang ditetapkan.
Tindakan sindiket itu biarpun sebelum ini pernah ditahan menerusi operasi di lokasi sama pada hujung Disember 2022 berjaya dipatahkan menerusi serbuan dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5.30 pagi itu turut berjaya memberkas seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dalang sindiket penyeludupan tersebut.
Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati kesemua PATI itu dipercayai baru masuk ke negara secara tidak sah melalui laluan haram di sempadan Kelantan.
"Sebuah bas disyaki membawa PATI di Lebuhraya Pantai Timur menghala ke TBS. Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang dua buah bas secara berasingan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seramai lima lelaki warga Myanmar, lima lelaki India dan seorang perempuan warga India berusia antara 20 hingga 58 tahun.
"Selain itu, serbuan dijalankan turut mengesan salah seorang daripada lima lelaki warga Myanmar disyaki bertindak sebagai dalang yang mengiringi semua PATI menaiki bas dari Stesen Bas Kota Bharu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, semakan lanjut mendapati kesemua PATI tersebut tidak memiliki dokumen yang sah.
"Antara kesalahan yang dikesan tidak memiliki sebarang cap masuk Malaysia, tidak memiliki dokumen selain ada yang dikesan mempunyai rekod senarai hitam dan dihalang memasuki negara berdasarkan kesalahan lampau," katanya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua PATI ditahan mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa memasuki Malaysia.
"Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket.
"Kesemua PATI ini turut mendakwa membayar RM7,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini," katanya.
Ujar Khairul Dzaimee, kesemua PATI itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!