Menanti 'pemain ke-12' gegar Stadium Bukit Jalil
STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal menjadi venue yang menggerunkan buat Thailand hasil sorakan 59,000 penonton pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 menentang Malaysia pada Sabtu.
Penyerang negara, Darren Lok mengharapkan suasana sama seperti menentang Singapura Selasa lalu diulangi 'pemain ke-12' sebagai penyuntik semangat pemain skuad Harimau Malaya selain 'mengoyakkan' moral pemain Thailand.
“Sudah tentu kita mahu jadikan SNBJ sebagai tempat yang tidak mahu dikunjungi pasukan lawan. Prestasi kita di sini (laman sendiri) amat baik khususnya selepas kelayakan Piala Asia lalu.
“Jadi saya harap kita dapat teruskan momentum itu untuk aksi Sabtu ini. Kita juga tidak mahu memberikan jalan yang mudah buat Thailand di sini,” katanya.
Skuad Gajah Perang pernah beraksi di 'kandang' Harimau Malaya itu pada 2019 bagi kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan mereka rebah 1-2 menerusi gol Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh, manakala gol lawan hasil jaringan Chanathip Songkrasin.
Selasa lalu lebih 65,000 penyokong membanjiri SNBJ pada aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Singapura yang menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon menang 4-1 untuk melangkah ke separuh akhir 'Piala Dunia Asean' itu.
Bagaimanapun hanya 59,000 tiket sudah habis terjual ekoran 21,000 tempat duduk terpaksa 'dikosongkan' kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.
Dalam pada itu, Darren mengakui mempunyai keyakinan tinggi untuk menentang juara bertahan tersebut setelah meledak gol sulung ketika bertemu Singapura Selasa lalu.
“Satu perasaan yang baik kerana saya dapat menjaringkan gol dan ini memberikan suntikan motivasi terbaik untuk berdepan Thailand.
“Sudah tentu saya mahu terus menjaringkan gol dan berharap dapat terus memberi sumbangan kepada pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!