'Putera William serang saya secara fizikal'

Memoir Putera Harry berjudul Spare yang hanya akan diterbitkan pada Selasa depan. - Foto: Agensi
Memoir Putera Harry berjudul Spare yang hanya akan diterbitkan pada Selasa depan. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Konflik keluarga diraja Britain kembali mendapat perhatian umum selepas Putera Harry mendakwa abangnya, William menyerangnya secara fizikal.

Insiden itu dilaporkan The Guardian memetik kandungan memoir Duke of Sussex itu yang berjudul Spare yang mendedahkan rasa tidak puas hati terhadap isterinya, Meghan Markle menjadi punca pertengkaran dua adik-beradik tersebut di kediamannya di London pada 2019.

"William mencekak kolar baju dan merenggut rantai saya serta menjatuhkan saya ke lantai hingga menyebabkan mangkuk untuk mengisi makanan anjing pecah.

"Saya terbaring seketika dalam keadaan terpinga-pinga di atas serpihan mangkuk tersebut dan ia turut melukakan belakang tubuh saya.

"Saya kemudiannya bingkas bangun dan menyuruhnya keluar. Kejadian itu berlaku terlalu pantas," menurut The Guardian yang memperoleh salinan memoir tersebut.

The Guardian menjelaskan William, 40, dipercayai kurang senang dengan perkahwinan Harry, 38, bersama Meghan Markle, 41, malah Duke of Cambridge itu turut menggelar bekas aktres Amerika Syarikat (AS) tersebut sebagai 'biadab' dan 'kasar'.

Istana Kensington bagaimanapun enggan mengulas tentang insiden pergaduhan kedua-dua putera kepada Puteri Diana itu.

Difahamkan, Spare hanya akan diterbitkan pada Selasa depan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi klip baharu pratonton wawancara bersama ITV, Harry dikatakan enggan menghadiri upacara pertabalan Raja Charles III yang dijadualkan pada Mei depan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!