Polis Kelantan bebaskan 195 orang etnik Rohingya

Polis Kelantan membebaskan 195 orang etnik Rohingya yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah Kota Bharu pada Selasa.
Polis Kelantan membebaskan 195 orang etnik Rohingya yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan membebaskan 195 orang etnik Rohingya yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka dibebaskan selepas pemeriksaan mendapati etnik tersebut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

"Kesemua mereka ini dibebaskan sebaik sahaja selesai proses dokumentasi.

"Bagaimanapun sembilan orang etnik berkenaan masih ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta status dokumen meragukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, operasi tersebut melibatkan tiga lokasi berasingan iaitu Ketereh, Kok Lanas dan Melor.

"Ia susulan rungutan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan kehadiran terlalu ramai etnik berkenaan sehingga membentuk komuniti di kawasan terbabit.

"Antara rungutan masyarakat adalah berkaitan tingkah laku sebahagian etnik ini yang tidak menghormati penduduk serta tidak sensitif dengan budaya setempat.

"Masyarakat juga bimbang terhadap tahap keselamatan penempatan mereka berikutan berlaku kes melibatkan etnik berkenaan seperti kes kesalahan trafik, jenayah kekerasan termasuklah pergaduhan, rogol dan lain - lain kes," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi-operasi sebegini dibuat bukan sahaja kepada etnik Rohingya, malah dijalankan di lain-lain penempatan yang menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

"Tindakan berterusan akan sentiasa dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!