Tak tutup pintu sempadan, keputusan paling sesuai buat masa ini
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak menutup sempadan negara adalah keputusan yang paling sesuai buat masa ini.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rosliza Abd Manaf berkata, varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang menular di China ketika ini disifatkan tidak mendatangkan kesan jangkitan teruk di negara ini memandangkan hampir 90 peratus penduduk sudah divaksin.
"Kalau kita tengok rakyat kita majoritinya telah divaksin, jadi insya-ALLAH sekiranya ada kenaikan kes ataupun kemasukan kes akan datang, ini tidak akan melonjakkan kes tinggi di Malaysia.
"Kalau kita tutup sempadan macam mana kita hendak galakkan sektor ekonomi yang baru hendak bermula," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sinar Live yang membincangkan tajuk Covid-19: Varian baharu, kita terancam?, yang dihoskan oleh Fahiz Ariff dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis
Dr Rosliza berkata, sudah lebih tiga tahun dunia dilanda pandemik Covid-19 dan sekarang ini beratus-ratus subvarian telah wujud.
"Untuk virus itu hidup dalam badan manusia, memang akan berlaku mutasi dan menyebabkan terbitnya pelbagai jenis varian.
"Kemunculan varian baharu ini akan berterusan bukan hanya sekarang tetapi seterusnya pada masa akan datang," katanya.
Jelasnya, mengenai varian yang hangat diperkatakan ketika ini, ia sebenarnya bukanlah baharu sangat kerana kedua-kedua varian sudah dikesan sehingga Ogos tahun lepas lagi.
"Di negara Eropah, Amerika dan Perancis dah ada menunjukkan kehadiran varian-varian ini.
"Cuma sekarang ini bilangan kes yang tinggi di China meningkat, majoriti kes varian baharu ini," kata Dr Rosliza.
Tambahnya, menerusi data dan kajian sedia ada, varian itu kebolehjangkitannya adalah sangat tinggi.
Bagaimanapun katanya, tidak ada bukti saintifik yang mengaitkan varian itu dengan kes yang sangat teruk.
"Walaupun kadar jangkitan tinggi, kes banyak tapi dia tidak melibatkan kes yang tenat dan sangat memudaratkan.
"Simptom-simptomnya agak ringan, jadi sekiranya kita sudah ada perlindungan vaksin, booster, walaupun dijangkiti ia tidak membahayakan," ujarnya.
Menurutnya, umum mengetahui kes di negara China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan sedang meningkat naik.
"Bila kita tahu mana-mana negara mempunyai lonjakan kes yang tingi, kita perlu ambil langkah berhati-hati supaya kes tinggi itu tidak sampai ke negara kita.
"Jadi kita menyambut baik saranan Perdana Menteri mengatakan bahawa langkah ketat perlu dilaksanakan di semua pintu masuk negara.
"Itu adalah inisiatif sangat baik untuk mengelakkan daripada varian yang sangat mudah menular ini untuk masuk lebih banyak lagi ke negara kita," katanya.
Beliau turut menjelaskan maksud pintu sempadan negara diperketatkan bukanlah menghalang pelancong asing masuk atau rakyat negara ini sendiri ke luar negara.
"Kita lebih sarankan langkah lebih berhati-hati. Kita tengok perkembangan yang dikongsi Kementerian Kesihatan melibatkan saringan suhu.
"Saringan suhu akan dilakukan di semua pintu masuk. Langkah yang baik untuk menyaring suhu badan tapi boleh ditambah dengan kaedah saringan yang lain iaitu ujian PCR sebelum menaiki pesawat macam negara Kanada dan India," katanya.
Beliau menegaskan, dalam menangani kes Covid-19 di Malaysia, langkah yang diambil perlu holistik.
"Pertama pencegahan, kita kena pastikan pintu masuk dikawal rapi dan setiap yang masuk disaring sebaiknya terutama dari negara China.
"Sekiranya ada kes yang kita dapat kesan di pintu masuk suhu mereka tinggi perlu ada langkah rapi untuk mereka ini diasingkan, dirawat atau dihantar pulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!