Kewujudan trek dikesan lebih awal
PUTRAJAYA - Saksi kedua pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Wang Kelian mendedahkan trek di hutan tersebut dikesan pada awal Januari 2015.
Sarjan Yusuf Islam Hasan berkata, dia menyedari perkara itu ketika baru dipindahkan bertugas ke Batalion Tiga Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor.
"Iya. Awal lagi saya nampak trek tersebut, tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Air sungai berbuih bawa kepada penemuan kem sementara
ARTIKEL BERKAITAN: Lapan terma rujukan bagi RCI Wang Kelian
Menurutnya, selepas beberapa pemantauan dibuat, terdapat kesan aktiviti manusia di kawasan itu.
"Saya tidak membuat laporan kepada pihak atasan kerana takut bising," katanya.
Menceritakan detik pada 19 Januari 2015, Yusuf yang ketika itu sebagai Subseksyen Komander Batalion Tiga berkata, dia melihat enam individu berada di dalam khemah bawah yang berkunci ketika melakukan pemantauan bersama sembilan anggota dan seorang pegawai penyiasat.
"Saya lihat mereka dalam keadaan lemah dan kotor serta ada kesan luka pada badan.
"Kawasan sekitar juga tidak terurus," katanya.
Prosiding berlangsung di hadapan tujuh panel RCI yang dipengerusikan oleh Tun Ariffin Zakaria.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abd Halim dan Saiful Azmi Mohd Saad sebagai Pegawai Pengendali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!