Anggota bomba cedera, kenderaan dirempuh ketika bantu mangsa nahas

Keadaan lokasi kemalangan melibatkan beberapa kenderaan termasuk sebuah kenderaan EMRS bomba di Kilometer 244.1 LPT1 di sini, awal pagi pada Jumaat.
Keadaan lokasi kemalangan melibatkan beberapa kenderaan termasuk sebuah kenderaan EMRS bomba di Kilometer 244.1 LPT1 di sini, awal pagi pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota bomba cedera selepas kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dilanggar kenderaan lain ketika melakukan rawatan awal mangsa kemalangan di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini, awal pagi pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi itu, anggota terbabit cedera di kaki dan sakit pada bahagian dada.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, selain anggota terbabit, empat termasuk pemandu dan penumpang kenderaan lain turut dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut.

Menurutnya, kenderaan EMRS bersama tiga anggota itu ke lokasi kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kereta jenis Proton Saga yang mengakibatkan kedua-dua pemandunya cedera.

"Ketika anggota terlibat sedang melakukan rawatan awal mangsa yang cedera, sebuah kereta lain (Perodua Viva) dan sebuah lori jenis satu tan nyaris melanggar kereta Proton Saga terlibat kemalangan yang masih berada di tengah jalan.

"Tidak lama kemudian, sebuah kereta jenis Kia Sorento dinaiki dua individu tiba ke lokasi itu sebelum merempuh Proton Saga hingga berpusing merempuh lori dan kederaan EMRS bomba yang berada di tepi lebuh raya," katanya.

Ismail berkata, akibat rempuhan itu, seorang anggota bomba yang berada dalam kenderaan EMRS tercampak dan mengalami kecederaan manakala dua lagi anggota selamat.

"Susulan kejadian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang cedera diberi bantuan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk rawatan lanjut.

"Jentera EMRS bomba ditunda ke plaza tol terdekat sebelum diserahkan kepada Bahagian Kejuruteraan Bomba untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!