[VIDEO] 1,000 pelanggan 'serbu' sarapan percuma di Restoran DSH
KUALA TERENGGANU - Mengambil keberkatan hari Jumaat untuk berkongsi rezeki, sebuah restoran di Batu Buruk di sini menyediakan sarapan percuma kepada orang ramai bermula hari ini.
Restoran DSH yang mula beroperasi sejak September tahun lalu menyediakan pelbagai menu sarapan pagi untuk program sedekah Jumaat antaranya nasi lemak, nasi minyak, roti canai, roti bakar, kuih-muih, keropok goreng dan minuman seperti teh o, kopi o dan teh susu.
Pengurus Restoran, Raja Abdul Salam Raja Gazali berkata, dia tidak menyangka hari pertama sarapan pagi percuma itu mendapat sambutan hangat sehingga mencecah 1,000 pelanggan.
"Pada mulanya kami hanya menjangkakan seramai 300 pelanggan yang akan datang selepas hebahan dibuat melalui Facebook, tak sangka pula ia mendapat sambutan hangat.
"Pagi ini sahaja kami sudah menanak nasi empat kali dan kami gembira kerana pelanggan yang datang tidak putus-putus sejak jam 7.30 pagi tadi," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Jumaat.
Menurut Raja Abdul Salam, walaupun menjangkakan jumlah pelanggan sekitar 300 orang, mereka bersedia dengan tambahan makanan yang mampu menampung sehingga 1,000 pelanggan.
"Juadah nasi lemak dan nasi minyak yang disediakan masing-masing boleh menampung sehingga 300 hingga 500 pelanggan, roti canai (500 keping) serta 200 bungkus roti bakar.
"Kuih-muih juga disediakan sekitar 100 bungkus dan ia paling laris kerana sudah habis sejak pagi lagi. Namun begitu, sarapan pagi tetap disediakan antara jam 7.30 hingga 11 pagi atau sehingga makanan habis," katanya.
Ditanya cabaran terhadap usaha berkongsi rezeki dalam keadaan ekonomi tidak menentu, Raja Abdul Salam berkata, mereka percaya kepada rezeki yang telah diaturkan oleh ALLAH SWT.
"Insya-ALLAH Sedekah Jumaat akan diadakan setiap minggu. Usaha ini dilakukan untuk memberi balik rezeki kepada rakyat terutama rakyat Terengganu.
"Kami percaya setiap orang layak menikmati rezeki yang ALLAH SWT kurniakan dan kami juga percaya terhadap firman-Nya dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud, dari setiap cabang yang kita sedekahkan ALLAH akan gandakan tujuh kali ganda," ujarnya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Tengku Ruzilawati Tengku Abdul Aziz, 49, berkata, dia tidak menyangka restoran itu menyediakan sarapan percuma hari ini.
Katanya, dia pernah ke situ sebelum ini namun suasana di situ kali ini cukup meriah kerana ramai pelanggan berkunjung untuk menikmati makanan secara percuma.
"Usaha dilakukan pemilik restoran ini adalah luar biasa. Saya kagum dan memuji usaha serta inisiatif yang dilakukan untuk berkongsi rezeki bersama orang ramai.
"Semoga apa yang dilakukan ini mendapat balasan kebaikan dan perniagaan mereka bertambah maju," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!