Kapal Peronda Luar Pesisir pertama siap Mac ini

Saifuddin Nasution (tengah) melawat tapak pembinaan kapal Offshore Patrol Vessel 1 (OPV1) di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah pada Jumaat. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (tengah) melawat tapak pembinaan kapal Offshore Patrol Vessel 1 (OPV1) di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PULAU INDAH - [DIKEMAS KINI] Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) dijangka siap dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, setelah mendengar taklimat, kemungkinan berlaku peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal berkenaan.

Sementara itu, bagi kapal OPV 2 pula beliau berkata, ia dijangka siap pada Oktober tahun ini.

“Tapi saya tadi menyebut dengan jelas pendirian kerajaan untuk tarikh serahan tidak lagi diubah atau dilanjut pada satu tempoh panjang atas alasan-alasan yang tidak boleh lagi dikompromi.

"Saya minta tidak lagi tertangguh, tapi kalau tangguh hingga Mac 2025, habislah. Tapi saya minta itu jangan berlaku.

"Jujurnya saya fikir mereka masih perlukan tempoh lagi selepas Mac (tarikh sepatutnya siap kapal OPV 1), tidak lama, tahun ini perlu ada,” katanya ketika sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan Kapal OPV 1 di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberikan suntikan pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV milik Maritim Malaysia disiapkan.

Menurut beliau, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat usaha sama Tabung Haji dan Destini Berhad iaitu THHE Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan pada 3 September lalu memaklumkan, TH Heavy Engineering Berhad (THHE) yang terkait dengan isu kelewatan penyerahan OPV milik APMM, bukan lagi anak syarikat atau syarikat bersekutu di bawah agensi itu.

Kepentingan TH dalam THHE telah diambil alih sepenuhnya oleh anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dan pemindahan tersebut dilakukan kerana prestasi syarikat yang lemah dan tidak memberi pulangan yang dijangka kepada TH.

Mengulas lanjut kata Saifuddin, suntikan dana tambahan yang diumumkan itu adalah manfaat untuk ketiga-tiga projek kapal OPV.

“Suntikan ini adalah untuk keseluruhan projek. Kita tidak sebut untuk pertama.

"Asalnya diberi RM733 juta dan disuntik lagi RM152.6 juta. Ini dalam konteks tiga unit kapal pesisir pantai,” jelasnya.

Tambah beliau, melalui suntikan dana tersebut, ia telah membantu menyegerakan pembinaan kapal itu.

“Saya masuk bilik kawalan tadi, semua komponen utama sudah siap. Akan ada kapal pengiring akan sampai.

“Semua sangkut kerana aspek bayaran. Dengan suntikan baru, aspek itu tidak lagi menjadi masalah,” ujarnya.

Menurut beliau, tindakan kerajaan untuk meneruskan pembinaan OPV bukan untuk menyelamatkan projek sakit, namun melihat kepada tujuan akhir iaitu mengawal keselamatan sempadan negara.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) khususnya Maritim Malaysia sudah tentu mempunyai harapan besar kerana kapal ini, keupayaannya tinggi. Berlayar melebihi 21 hari. Ia sudah tentu menjadi aset utama Maritim untuk tingkat keupayaan.

“Saya dan timbalan akan mengikuti perkembangan dengan dekat termasuk bagi memastikan suntikan ini (dana) akan akhirnya membantu untuk percepatkan sistem penyerahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!