[VIDEO] Anak muda tetap pilih PN - Abdul Hadi
SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan sokongan anak muda Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai isyarat kepada gelombang kebangkitan Islam.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, meskipun ditawarkan dengan pelbagai janji oleh pihak lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun ramai dalam kalangan mereka tidak termakan dengannya.
“Ketika itu, dipaparkan sokongan para profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda.
“Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan ‘janji bohong’ yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai.
“Semua tawaran tersebut ditolak oleh anak muda yang ditipu ketika PRU14 lalu dan sekali gus menolak BN dan PH dalam PRU15. Kini, disaksikan gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam dalam PRU15 baru-baru ini yang telah memenangkan PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Abdul Hadi menambah, keadaan itu menyebabkan kedua-dua pihak berkenaan terpaksa meraih sokongan daripada golongan lain.
“Pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih makan garamnya,” jelasnya.
Beliau berkata, pemerintahan Islam menekankan nilai integriti dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran.
“Apabila Islam itu berkuasa memerintah negara yang adil kepada semua, maka pasti akan wujud kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah, salah urus dan lain-lain dengan beriman dan berakhlak bukan sahaja berilmu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!