Bot nelayan tempatan ditahan gaji kru warga asing
PELABUHAN KLANG - Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan dipercayai menggajikan kru warga asing di perairan Kuala Selangor pada Khamis.
Bot itu ditahan ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 4.3 batu nautika Kuala Selangor oleh bot peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Op Ehsan sekitar jam 10.30 malam.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh dua warga tempatan berusia 64 dan 57 tahun serta tiga warga asing berumur antara 32 hingga 39 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru warga asing mempunyai pengenalan diri namun gagal mengemukakan permit yang sah ketika diminta penguat kuasa.
"Bot bersama kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.
"Tiada berkompromi terhadap pelanggaran undang- undang di Zon Maritim Malaysia dan rondaan serta pemantauan akan terus dilakukan di perairan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!