Rayuan kes rasuah hibrid solar Rosmah didengar Julai ini

Rosmah - Foto Bernama
Rosmah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dijadualkan semula pada 11 Julai depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron menetapkan empat hari dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan itu semasa pengurusan kes hari ini.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan mewakili pendakwaan manakala Rosmah diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, yang mengesahkan tarikh itu kepada media berkata, tarikh pendengaran rayuan pada 22 dan 23 Jun yang sebelum ini ditetapkan pada 19 Disember lepas, telah dilapangkan.

Beliau berkata, pihak-pihak dalam rayuan itu diarahkan untuk memfailkan penghujahan masing-masing pada 9 Jun dan penghujahan balas pada 23 Jun.

Pengurusan kes akhir bagi rayuan itu ditetapkan pada 4 Julai, kata Poh.

Pada 1 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 71, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Beliau juga didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam kesnya itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini memutuskan pembelaan Rosmah hanyalah penafian dan RM6.5 juta itu memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!