Polis Johor hantar permohonan tahan warga Singapura
KULAI - Polis Johor sudah menghantar dokumentasi diperlukan ke pihak berkuasa Singapura untuk menahan warga Singapura berhubung isu pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dokumentasi tersebut adalah untuk membolehkan pihaknya menahan individu terbabit mengikut lunas perundangan.
"Kita ada seorang lagi warga Singapura yang kita telah pun hantar dokumentasi yang perlu untuk kita dapatkan dia mengikut lunas-lunas undang-undang.
"Ada seorang lagi, kita belum lagi selesai tetapi kita sudah proses (menghantar dokumen).
"Kita akan membuat permohonan menerusi Interpol di Bukit Aman," katanya pada sidang media selepas hadir Program High Profile Policing di Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Kem di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan usaha polis Johor dalam mengesan seorang lagi warga Singapura bagi membantu siasatan kes pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.
Sebelum ini, polis Johor memaklumkan individu warga Singapura yang disyaki terbabit dalam insiden tersebut telah dikenal pasti, dengan bantuan pihak berkuasa negara jiran.
Pencemaran sisa bahan kimia di sungai tersebut menyebabkan lebih 5,000 penduduk di Pasir Gudang termasuk pelajar sekolah berdepan masalah kesihatan dan ada di antara mereka mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!