PPMW2 patahkan cubaan seludup keluar warga asing
JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar warga asing menggunakan bot pancung di perairan Kong Kong, Pasir Gudang, malam tadi.
Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi kira-kira jam 8.30 malam itu.
Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi dilakukan sebaik menerima maklumat mengenai pergerakan keluar sebuah bot pancung yang mencurigakan dari Sungai Tiram.
"Polis kemudiannya bertindak memintas bot terbabit di perairan Kong Kong. Menyedari tindakan tersebut tekong bot berkenaan kemudiannya bertindak memusing bot dan cuba melarikan diri ke arah Tanjung Langsat.
"Kita mengejar selama kira-kira 30 minit sebelum bot terbabit berjaya dihentikan. Ketika itu, dalam bot berkenaan terdapat 12 warga asing terdiri daripada sembilan wanita dan tiga lelaki," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, tekong bersama beberapa Pati berjaya meloloskan diri selepas nekad terjun ke dalam laut dan paya bakau berhampiran kawasan berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot berukuran 27 x 6 kaki itu dijana menggunakan satu unit enjin berkapasiti 200 kuasa kuda jenis Yamaha. Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!