Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan dan Terengganu sehingga Sabtu. - Foto hiasan
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan dan Terengganu sehingga Sabtu. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan dan Terengganu sehingga Sabtu.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan itu berdasarkan analisis model cuaca yang dilakukan oleh agensi berkenaan.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung pada 6 ke 9 Januari 2023. Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (waspada) yang melibatkan Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa pada 6 ke 7 Januari 2023,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau menambah, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di pedalaman serta barat Semenanjung, barat Sabah serta tengah dan utara Sarawak pada sebelah petang hingga ke malam.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan juga telah dikemas kini berkuat kuasa sehingga 8 Januari 2023.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!