'Tak pernah dibuat orang belakang gol ada pentas'
ISU pentas konsert artis Taiwan, Jay Chou yang menyebabkan Harimau Malaya kehilangan sokongan hampir 21,000 penyokong pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil terus hangat diperkatakan.
Kali ini, netizen mempersoalkan pentas tersebut yang terlalu besar selain dilihat terlalu hampir dengan gawang gol yang akan digunakan dalam perlawanan menentang Thailand pada Sabtu.
Tinjauan Sukan Sinar di laman media sosial mendapati rata-rata netizen menyifatkan situasi itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana kejohanan bola sepak di dunia.
Salah seorang pengguna media sosial, Abdul Hafiz menulis: "Tak pernah dibuat orang belakang gol ada pentas. Lagi-lagi dalam perlawanan besar macam ini. Memalukan".
Manakala, Mohamad Hadi menulis: "Percayalah cakap saya, mesti viral benda ini lepas perlawanan ni. Dah la 'live' esok".
Atiqah Hamid pula menulis: "Risau tengok struktur tu. Harap keselamatan diutamakan".
Sebanyak 59,000 sahaja tiket yang dijual untuk perlawanan separuh akhir tersebut dengan baki 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan untuk persiapan untuk konsert Jay Chou pada 15 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!