Pengunjung harap penyelenggaraan taman rekreasi dipercepat

Pengunjung mengambil peluang bersantai bersama keluarga di Taman Jubli Perak biarpun terdapat kawasan tertentu di pusat rekreasi tersebut sedang dinaik taraf.
Pengunjung mengambil peluang bersantai bersama keluarga di Taman Jubli Perak biarpun terdapat kawasan tertentu di pusat rekreasi tersebut sedang dinaik taraf.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf yang dilakukan di kawasan rekreasi Taman Jubli Perak di sini diharapkan dapat disiapkan segera bagi memastikan tahap keselamatan awam terjamin.

Pengunjung, Mohd Salim Shahrin, 45, berkata, setakat ini masih terdapat beberapa kerja penambahbaikan dilakukan membabitkan peralatan permainan di lokasi tumpuan tersebut yang belum selesai.

Menurutnya, biarpun dilihat masih dalam proses baik pulih, namun taman rekreasi itu tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan orang ramai.

"Ia berikutan kawasan ini telah menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama untuk melakukan aktiviti rekreasi dan bersantai selain mudah dikunjungi disebabkan kedudukannya di tengah pusat bandar.

"Tidak dinafikan, penduduk setempat menjadikan Taman Jubli Perak sebagai lokasi beriadah bersama keluarga selain lokasi senaman berdasarkan kemudahan yang disediakan mesra pengguna," katanya.

Notis pemberitahuan mengenai kerja-kerja naik taraf yang dijalankan di Taman Jubli Perak, Sungai Petani.
Notis pemberitahuan mengenai kerja-kerja naik taraf yang dijalankan di Taman Jubli Perak, Sungai Petani.

Menurutnya, keluasan, kemudahan peralatan permainan, landskap yang menarik selain laluan pejalan kaki yang terdapat di situ menjadikan taman ini sering menjadi tumpuan pengunjung tanpa mengira masa termasuk pada waktu malam.

Seorang lagi pengunjung, Nor Aini Omar, 47, berkata, biarpun kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan namun dia tetap membawa keluarga berkunjung ke taman tersebut kerana mudah dan dekat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain melarang kanak-kanak menggunakan peralatan yang sedang dibaiki, mereka sentiasa memantau pergerakan anak-anak.

Nor Aini (kanan) membawa keluarga beriadah di Taman Jubli Perak kerana merasakan lokasi itu sesuai untuk bersantai.
Nor Aini (kanan) membawa keluarga beriadah di Taman Jubli Perak kerana merasakan lokasi itu sesuai untuk bersantai.

"Nampak ada banyak tempat yang sedang diselenggara dan pita larangan turut dipasang di kawasan tertentu, namun orang ramai tetap datang ke sini dan memilih lokasi yang selamat.

"Contohnya, malam ini, kami datang ramai-ramai bawa mak dan adik-beradik rehat di sini, ambil angin, sebab tiada tempat lain yang sesuai, di sini boleh berehat, budak-budak boleh main dan orang dewasa bersantai selepas penat bekerja.

"Hari cuti dan musim perayaan, memang ramai akan datang ke sini, walaupun kami tahu ada tempat tak boleh masuk tetapi tetap berhati-hati dan pantau kanak-kanak bermain," ujarnya.

Selain itu, Mariam Hamid, 55, berkata, sebelum ini, hampir setiap minggu dia datang ke Taman Jubli Perak untuk beriadah namun mendapati pengunjung mula berkurangan sejak kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

"Sebelum ini ada notis tidak membenarkan pengunjung masuk, namun sejak kebelakangan ini saya lihat ramai juga yang datang ke sini. Jadi saya amat berharap agar kerja-kerja ini dapat disiapkan dengan segera.

"Ia bertujuan memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung terjamin," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!