427 permohonan murid tak sah warganegara selesai
IPOH - Sebanyak 427 daripada 444 permohonan memasuki sekolah bagi murid tanpa dokumen dan tidak sah warganegara di Perak berjaya diselesaikan bagi tempoh hingga Mac tahun ini.
Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, daripada jumlah itu, 81 diluluskan tanpa syarat sementara 346 permohonan lulus bersyarat.
Menurutnya, daripada rekod yang diterima terdapat 14 permohonan tidak diluluskan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan.
"Kelulusan bagi setiap permohonan adalah dikawal Akta Pendidikan 1996 yang masih digunapakai dan tidak ada sebarang penggubalan.
"Justeru pemohon harus mematuhi syarat Akta 550 sedia ada dan perlu ada dokumen sokongan yang lengkap," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Ng Shy Ching (PKR-Teja) pada Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.
Shy Ching membangkitkan persoalan mengenai pendaftaran murid tanpa dokumen dan tidak sah kewarganegaraan yang mendapat perhatian umum mutakhir ini.
Abdul Aziz berkata, menerusi mesyuarat yang diadakan bersama agensi terlibat antaranya Jabatan Pendaftaran, Jabatan Agama Islam dan penduduk kampung, wujud masalah seperti perkahwinan tidak berdaftar, perkahwinan membabitkan warga asing dan faktor kemiskinan yang menjadi punca berlakunya kes sedemikian.
Katanya, antara langkah yang sudah dilaksanakan bagi menangani isu itu adalah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas dipengerusikannya sendiri bersama Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing.
"Jawatankuasa ini sudahpun bermesyuarat dua kali dan kita juga telah mendapatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan lebih banyak maklumat bagi menanganinya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!