Suami isteri didakwa salah guna, pecah amanah wang syarikat

Ching Peng, 60, (kiri) dan Siew Moi, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto Bernama
Ching Peng, 60, (kiri) dan Siew Moi, 57, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan salah guna harta dan tiga pertuduhan pecah amanah wang syarikat milik mereka berjumlah RM220,000.

Tan Ching Peng, 60, dan isteri Tan Siew Moi, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka dituduh secara bersama menyalahgunakan harta atas nama Ching Peng iaitu wang daripada akaun OCBC Al-Amin milik syarikat Rekabina Construction Sdn Bhd berjumlah RM220,000.

Pasangan itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di OCBC Al-Amin, Kota Kemuning, Shah Alam pada 21 Dis 2020 hingga 30 Sept 2021.

Bagi tiga kes lagi, Ching Peng sebagai Ketua Operasi Syarikat Rekabina Construction Sdn Bhd dan isterinya sebagai penandatangan cek bagi akaun OCBC Al-Amin dituduh melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat secara cek tunai berjumlah RM220,000.

Sementara itu, Siew Moi menghadapi enam lagi pertuduhan salah guna harta syarikat serta enam pertuduhan pecah amanah wang syarikat sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, wanita itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang milik syarikat berjumlah RM382,000.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di OCBC Al-Amin, Kota Kemuning, Shah Alam pada 3 Dis 2020 hingga 8 Okt 2021.

Artikel Berkaitan:

Siew Moi sebagai pengarah syarikat berkenaan dan penandatangan bersama cek bagi akaun OCBC Al-Amin atas nama syarikat itu juga didakwa atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat secara cek tunai atas nama tertuduh.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, dan Seksyen 405 KK yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin.

Mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 kepada Chin Peng manakala RM80,000 terhadap isterinya dengan masing-masing seorang penjamin, selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan kes akan ditetapkan pada 16 Februari depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!