Penyakit demam babi Afrika dikesan di Sungai Bakap

Penyakit ASF dikesan di sebuah ladang babi di Sungai Bakap. - Foto hiasan/123RF
Penyakit ASF dikesan di sebuah ladang babi di Sungai Bakap. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) dikesan menjangkiti babi di sebuah ladang babi di Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan, dekat sini dan ladang tersebut telah ditutup bagi menghapuskan ternakan di situ.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sedang melaksanakan langkah-langkah pencegahan di ladang itu, termasuk menghentikan operasi kenderaan pengangkutan babi rentas negeri.

"Keseluruhan ladang (babi) itu telah ditutup dan babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi pada masa ini, kami mahu membendungnya serta menghalangnya daripada merebak ke ladang babi lain,” katanya di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah sewajarnya dan menasihati penternak babi di Pulau Pinang untuk mengambil langkah berjaga-jaga, apabila wabak ASF melanda negeri lain kira-kira dua bulan lalu.

"Namun, di sebalik semua langkah berjaga-jaga ia tetap berlaku dan kita telah merekodkan satu kes ASF di SPS,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!