Dua beradik direman curi wang koperasi

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Tempoh tahanan seorang kakitangan sebuah koperasi di negeri ini bersama adik perempuannya dilanjutkan selama dua hari sejak ditahan Isnin lalu bagi siasatan kehilangan wang koperasi tersebut yang berjumlah RM31,000.

Sebelum itu, wanita berusia 40 tahun yang juga kakitangan di bahagian kewangan di koperasi itu ada membuat laporan polis sejurus dimaklumkan berkaitan kehilangan wang koperasi tersebut, Ahad lalu.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari kakitangan di bahagian kewangan selepas membuat semakan ke atas dua beg berisi wang yang diletakkan di dalam sebuah bilik kebal di pejabat berkenaan.

"Sehari sebelum itu (Sabtu), kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek mengarahkan salah seorang kakitangan di situ meletakkan tiga buah beg yang berisi baki wang agihan semasa mesyuarat di Dungun di dalam bilik berkenaan.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 9.15 pada keesokan harinya, hasil semakan mendapati wang di dalam dua daripada tiga beg tersebut berkurangan sebanyak RM31,000 sebelum dimaklumkan kepada suspek," katanya.

Sumber berkata, selepas dimaklumkan kehilangan wang terbabit, suspek terus membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan susulan.

"Bagaimanapun selepas semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan, mendapati dua wanita dikesan berada di bilik itu yang mana seorang darinya dilihat menyerupai suspek manakala seorang lagi dipercayai adik perempuannya.

"Sejurus itu, wanita tersebut ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu manakala adik perempuannya berusia 34 tahun ditahan di rumahnya di Bukit Payong, Marang, Isnin lalu sebelum direman selama tiga hari sehingga hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hari ini perintah tahanan reman mereka dilanjutkan dua hari hari lagi untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim @ Isa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!