Banteras rasuah di peringkat pentadbiran bukan dendam politik
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan membanteras rasuah dalam kalangan ‘jerung’ iaitu dari peringkat atasan dalam pentadbiran bukan manifestasi dendam politik.
Ujar beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diberi kebebasan sepenuhnya tanpa campur tangan daripada beliau dalam menyiasat segala salah laku rasuah sama ada di peringkat bawah ataupun atasan, malah ia selari dengan perjuangan agenda reformasi pimpinan iaitu menentang budaya korupsi dalam negara.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menolak tangapan bahawa tindakan membanteras rasuah itu hanya bertumpu kepada peringkat kecil iaitu 'ikan bilis' kerana menyifatkan sudah ada 'jerung' yang dikenakan tindakan.
“Dia tentunya kalau takut disiasat kerana rasuah, sebaik sahaja kita sentuh (isu rasuah) dia akan sebut dendam. Saya tidak masuk campur (urusan SPRM), boleh tanya SPRM.
“Saya sudah beri arahan jelas saya tidak mahu ada sikap menutup kes atau memilih dalam soal siasatan.
“Dalam perbincangan saya bersama SPRM, saya beri kelonggaran kepada mereka sepenuhnya untuk bertindak tentunya bermula di (peringkat) atas, sebab itu kita dalam Kerajaan Perpaduan ini lebih keras dan tegas di peringkat atas dan orang yang mengandaikan kononnya dia bersih, sedikit sebanyak akan terbongkar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara, Naratif Khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, SPRM diminta menghiraukan segala tohmahan dan mengambil tindakan sekiranya mempunyai bukti serta fakta yang jelas berhubung salah laku rasuah.
“Ini kerana orang politik itu selalu berselindung di sebalik kata-kata dan puak mereka sama ada Melayu dan masalah yang dikatakan pembangkang dan kerajaan.
“Mesej saya sama sahaja dalam soal menegakkan hukum membanteras rasuah kerana negara ini (akan) rosak, tidak ada upaya bangkit semula sekiranya kita biar rasuah membesar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!