Aura Bukit Jalil 'lain macam'

Struktur pentas yang masih dalam proses pemasangan bagi konsert Jay Chou ketika tinjauan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Struktur pentas yang masih dalam proses pemasangan bagi konsert Jay Chou ketika tinjauan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
A
A
A

STADIUM Nasional Bukit Jalil perlu dikekalkan sebagai gelanggang keramat buat skuad Harimau Malaya kerana auranya mampu menimbulkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, menerusi kapasiti yang besar mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton, stadium itu dilihat sebagai venue yang 'menakutkan' ekoran sorakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya.

“Kita perlu ada stadium keramat. Stadium Nasional Bukit Jalil adalah yang terbaik di negara ini kerana kapasitinya yang menjangkau lebih 80,000 tempat duduk, sekali gus mampu memuatkan puluhan ribu penonton di stadium itu.

“Gegak gempita penyokong Harimau Malaya mampu menimbulkan rasa gerun pemain pasukan lawan. Mereka berasa takut dan ia beri kelebihan kepada pemain kita yang mendapat suntikan semangat daripada penyokong,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang bertembung antara konsert artis Taiwan, Jay Chou dan Piala AFF 2022 mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong Harimau Malaya.

Menurut Pekan, sebagai pilihan, Malaysia boleh mempunyai stadium alternatif jika berlaku pertembungan acara besar dalam tempoh hampir sama.

“Stadium yang berkapasiti 40,000 hingga 50,000 penonton sudah memadai sebagai gelanggang alternatif buat skuad kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik keizinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue perlawanan Harimau Malaya bermula Mac ini selepas Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup sementara untuk proses penukaran rumput.

Artikel Berkaitan:

“Ia satu tawaran yang sangat baik oleh TMJ dan boleh dipertimbangkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memandangkan selepas berakhirnya Piala AFF 2022, pasukan kebangsaan akan membuat persiapan menghadapi tugasan lebih besar iaitu Piala Asia 2023.

“Jadi Stadium Sultan Ibrahim boleh menjadi gelanggang alternatif buat Harimau Malaya sementara menantikan proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil siap sepenuhnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!