'Kerajaan patut tunjuk contoh baik'
SHAH ALAM - Pengurusan masa membabitkan jemputan media oleh pejabat menteri dan komunikasi korporat kementerian adalah sangat penting.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, tindakan mereka yang memanggil sidang akhbar pada jam 2.30 petang dan kemudian hanya mengadakannya jam 5.30 petang sepatutnya tidak berlaku.
“Pihak berkenaan satu, tidak menghormati janji. Nombor dua, tidak menghormati wartawan yang datang awal.
“Nombor tiga, saya rasa tidak kena sebab kita bercakap tentang sebuah kerajaan baharu yang sepatutnya menunjukkan contoh baik kepada media,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, media terpaksa kena ‘sidai’ pada sidang akhbar membabitkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang diadakan pada Khamis.
Kelewatan sidang akhbar tersebut menyebabkan Saifuddin Nasution kemudiannya meminta maaf kepada media menerusi ciapan di Twitternya.
“Berhubung kelewatan sidang akhbar petang tadi (Khamis), saya sedar keluhan rakan pengamal media. Jemputan media diuruskan pihak lain.
“Saya hadir mesyuarat dan sidang akhbar dengan garis masa yang dijadualkan kepada saya. Namun, walau apa jua alasan, saya secara peribadi mohon maaf kepada rakan media,” katanya.
Dalam pada itu, Chamil menambah, pihak pejabat menteri dan komunikasi korporat kementerian sepatutnya arif berkenaan perkara seperti ini.
“Kalau mereka nak penerbitan yang meluas, kena faham sistem bekerja bilik berita,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar mereka mengikuti kursus bagi memahami fungsi media supaya mengetahui waktu untuk menjemput media dan sebagainya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!