Bomba selamatkan dua beranak terperangkap dalam kebakaran

Jeriji tingkap bilik dipotong bagi menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Seri Iskandar, Parit. - Foto Bomba Perak
Jeriji tingkap bilik dipotong bagi menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Seri Iskandar, Parit. - Foto Bomba Perak
A
A
A

PARIT - Tindakan pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, sepasukan 12 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.04 pagi.

Menurutnya, setibanya di lokasi, terdapat dua wanita berusia 18 dan 50 tahun dalam rumah berkenaan.

"Kebakaran melibatkan ruang tamu rumah menyebabkan mangsa tidak dapat keluar melalui pintu hadapan.

"Anggota bertindak memotong jeriji tingkap bilik rumah berkenaan dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal kerana terhidu asap dan tiada kecederaan lain dilaporkan.

"Operasi memadam api diteruskan dengan bantuan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit.

"Dianggarkan 30 peratus rumah musnah dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 4.15 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, punca sebenar serta kerugian masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!