Punca ramai rakyat Malaysia nikah di Thailand
Exco Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Roshdan Sujak Rafie berkata, selain itu, terdapat juga sebilangan pasangan yang tidak mahu memaklumkan kepada keluarga sebelah isteri kedua terutama wali kerana bimbang perkahwinan itu tidak direstui dan dipersetujui setelah mengetahui tentang status sebagai isteri kedua.
Beliau menjelaskan bahawa proses untuk melangsungkan perkahwinan kali kedua di Malaysia kebiasaannya akan mengambil masa yang agak lama.
“Tambahan pula jika dibuat mengikut prosedur yang betul, isteri pertama akan dipanggil dan ditanya akan 'izin' untuk membenarkan suami berkahwin lagi.
“Ia akan menyebabkan pergaduhan bahkan boleh mengheret kes permohonan poligami tersebut menjadi lebih lama.
“Malahan pembuktian tentang kemampuan juga akan diteliti dan diambil berat oleh mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau menambah, proses pendaftaran nikah di luar negara dilihat lebih mudah berbanding prosedur permohonan untuk berpoligami di negara ini.
“Malah, hukuman bagi kesalahan poligami tanpa kebenaran atau nikah di Thailand adalah rendah dan mampu dibayar oleh pasangan,” ujarnya.
Jelas Roshdan Sujak, antara isu berbangkit utama yang perlu dihadapi oleh pasangan yang mengikat tali perkahwinan di Thailand adalah mengenai pendaftaran nikah.
Katanya, sekiranya pernikahan tersebut tidak didaftarkan, maka secara undang-undang pasangan berkenaan tidak mempunyai sijil nikah Malaysia sekali gus pernikahan itu tidak diiktiraf di negara ini.
“Jika tidak mempunyai sijil nikah Malaysia, ia akan menjadi masalah jika pasangan berkenaan mempunyai anak kerana kelahiran tersebut tidak dapat didaftarkan dengan sah.
“Ia juga akan menyebabkan isu-isu berhubung pusaka, pewarisan dan tuntutan hak-hak perkahwinan yang berkaitan tidak dapat dilaksanakan selagi pernikahan tersebut tidak berdaftar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!