12,138 peneroka getah terima bantuan Felda

Felda umum BMT berjumlah RM9.7 juta kepada 12,138 peneroka tanaman getah. - Gambar hiasan
Felda umum BMT berjumlah RM9.7 juta kepada 12,138 peneroka tanaman getah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM9.7 juta kepada 12,138 peneroka tanaman getah yang layak di seluruh negara.

Felda dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan berjumlah RM800 bagi setiap peneroka tanaman getah itu akan diberikan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada Januari 2023, fasa kedua pada Februari 2023 manakala fasa ketiga pada Mac 2023.

“Bayaran fasa pertama dan kedua masing-masing melibatkan nilai RM300, manakala fasa ketiga dengan nilai RM200. Kesemua bayaran ini akan dibuat secara terus ke akaun bank peneroka terlibat.

“Peneroka tanaman getah yang layak menerima bantuan ini adalah mereka yang menghantar hasil ke pusat mengumpul getah Felda, mereka yang tiada hasil kerana isu buruh atau serangan penyakit pokok getah serta mereka yang sedang dalam tempoh tanam semula bersama Felda,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Felda turut mengharapkan bantuan yang diberikan digunakan sebaiknya dan membantu meringankan beban peneroka tanaman getah yang terjejas ketika musim tengkujuh ini.

Bantuan ini juga merupakan cerminan komitmen Felda untuk terus memberikan bantuan secara bersasar kepada kategori peneroka yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!