Ejen nikah Siam ambil kesempatan promosi pakej

Antara pakej nikah Siam yang dikongsi warganet di media sosial.
Antara pakej nikah Siam yang dikongsi warganet di media sosial.
A
A
A

KOTA BHARU - Ejen nikah Siam mengambil kesempatan mempromosikan pelbagai pakej perkahwinan di Thailand susulan pendedahan pengarah popular, Syamsul Yusof yang mengaku Ira Kazar adalah isteri keduanya.

Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati rata-rata ejen mengambil kesempatan di atas isu tersebut untuk menarik perhatian mereka yang mahu berpoligami.

Seorang ejen yang enggan dikenali berkata, antara pakej ditawarkan ialah balik hari dan urusan itu diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat.

"Nikah pagi, petang sudah boleh balik. Pernikahan itu bukan sahaja murah malah 'selamat' kerana ia sukar dihidu oleh isteri pertama," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, perkhidmatan itu ditawarkan pada harga RM2,000 merangkumi bayaran kepada pihak Majlis Agama Islam Narathiwat, pengangkutan, makan tengah hari dan lain-lain.

Dia memberitahu, pakej seterusnya ialah tiga hari dua malam, iaitu sesuai untuk lelaki yang sudah biasa mempunyai urusan kerja luar.

"Hal ini kerana ia sukar dikesan isteri kerana beranggapan suami 'outstation' hujung minggu.

"Harga yang ditawarkan ialah RM3,500 iaitu nikah di Narathiwat dan terus ke Songkhla Konsul," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pakej paling mahal ialah kahwin dan melancong, pasangan terlibat boleh bercuti di destinasi terpilih di Thailand selepas disatukan.

Tambahnya, kesemua pernikahan itu sah mengikut syarak dan dokumen diterima oleh kerajaan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!