Langkah mitigasi atasi masalah aerotrain di KLIA - Anthony

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar kecil: Anthony
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar kecil: Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bas pengantara (shuttle) antara terminal utama dan satelit akan beroperasi sepanjang masa bagi mengurangkan kebergantungan kepada aerotrain, dengan masa perjalanan di antara dua bangunan berkenaan adalah empat minit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan antara langkah mitigasi bagi mengatasi masalah ketidakstabilan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, langkah mitigasi itu dilaksanakan kerana pada masa ini, hanya satu set aerotrain sahaja yang beroperasi, apabila set kedua menghadapi masalah teknikal.

"Pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memutuskan projek menaik taraf sistem dan membeli set aerotrain yang baharu, namun projek itu hanya akan siap dan beroperasi dalam tempoh 24 bulan,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Sabtu.

Anthony yang mengadakan lawatan kerja ke KLIA pagi Jumaat berkata, lebih banyak bas panjang juga akan ditambah dalam operasi menjelang bulan Mac ini untuk keselesaan dan mengurangkan kesesakan penumpang.

Menurutnya, semua petugas MAHB dan pekerja di retail shop di terminal satelit hanya boleh menggunakan shuttle bas dan tidak dibenarkan menggunakan aerotrain, kecuali krew kabin dan juruterbang.

Selain itu lebih banyak pesawat wide-body seperti A350 yang melibatkan penerbangan antarabangsa akan dibenarkan parkir di terminal utama tertakluk kepada kekosongan bay.

Beliau berkata, semua penerbangan domestik beroperasi dari terminal utama, dan ini dapat mengurangkan penggunaan aerotrain kerana penumpang boleh terus berjalan ke kaunter imigresen dan tempat mengambil bagasi yang terletak di bangunan sama.

Artikel Berkaitan:

Hanya penumpang transit yang perlu mengambil aerotrain atau bas ke terminal satelit.

Selain itu lebih ramai kakitangan akan ditempatkan di check point untuk menguruskan pergerakan dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan.

"Saya tak menafikan kita menghadapi masalah operasi di KLIA khususnya aerotrain, namun semua pihak yang bertanggungjawab mesti berani menghadapi dan menguruskan masalah itu,” katanya.

Anthony berkata, beliau yakin dengan komitmen pihak pengurusan MAHB untuk terus memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan di KLIA dan lapangan terbang yang lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!