Pelancong tak perlu cap pasport bila berlepas dari Singapura

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Mulai 22 April, pelancong asing yang berlepas dari republik ini tidak perlu lagi mendapatkan pengesahan pelepasan imigresen atau cap tarikh pelepasan dalam dokumen perjalanan mereka.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam catatan di laman sesawangnya hari ini berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkemas prosedur di pusat pemeriksaan dan mempercepat proses pelepasan imigresen.

ICA berkata untuk memperkemas lagi proses pelepasan dan menjadikannya lebih efisien, “semua pelancong asing yang berlepas dari Singapura melalui kaunter yang dikendalikan pegawai imigresen tidak perlu lagi mendapatkan pengesahan pelepasan dalam pasport mereka apabila meninggalkan Singapura dari 22 April 2019”.

Sebelum ini, semua pelancong asing yang berlepas dari Singapura perlu mendapatkan cap tarikh pelepasan dalam pasport mereka oleh pegawai imigresen di kaunter.

Sejak September 2016, ICA berkata pelancong asing yang mendaftar cap jari mereka melalui sistem BioScreen apabila tiba di negara ini layak menggunakan lorong automatik apabila meninggalkan Singapura.

Mereka tidak menerima pengesahan pelepasan imigresen apabila menggunakan lorong automatik, katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!