Anggota polis dipenjara gara-gara salah guna kad minyak
MELAKA TENGAH - Seorang lans koperal dijatuhi hukuman lapan bulan penjara, denda RM92,000 serta tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan kad minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM90,422.90, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Nur Baderyshah Matasum, 34, membuat pengakuan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin selepas kesemua tujuh pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM dan Kad Smart Pay bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422.90.
Kesalahan itu dilakukannya di stesen minyak Petronas Kelemak dalam daerah Alor Gajah antara 1 Mac hingga 30 September 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara dan sebat dan dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan tertuduh adalah anggota keselamatan yang seharusnya melindungi orang awam dan bukannya menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh juga adalah serius malah ia dilakukan berulang kali hingga dapat mengumpul lebih RM90,000 daripada orang awam. Saya mohon hukuman berat demi mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman lebih ringan ke atasnya atas alasan perbuatan itu kesalahan pertama dan sudah insaf selain perlu menanggung seorang isteri serta lima anak berusia 3 bulan hingga 9 tahun.
“Saya menggunakan wang itu untuk menanggung rawatan ibu yang sakit di Sarawak dan selalu berulang-alik ke Sarawak selain turut menanggung bapa yang sudah tua. Saya sendiri menghidap sakit bengkak hati dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.
Mohd Nasir yang menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara, satu sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan kemudiannya memerintahkan supaya hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 14 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!