Belum terima maklumat baharu aktiviti pembersihan hutan
LENGGONG - Kerajaan Perak belum menerima maklumat berkaitan wujudnya kerja-kerja pembersihan hutan baharu dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Kuala Kangsar.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa perkara perlu diambil kira termasuk status kawasan yang didakwa ada aktiviti pembersihan hutan di hutan simpan kekal itu.
"Setakat laporan yang diterima daripada Jabatan Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, kawasan yang tular di media sosial baru-baru ini adalah milik persendirian. Kalau ada yang lain kita kena tunggu laporan baharu.
"Ini melibatkan teknikal, pertamanya hutan simpan kekal tidak boleh dibalak. Jika ada aktiviti pembersihan hutan kita kena lihat sama ada kawasan itu adalah tanah milik persendirian atau sebaliknya. Kita kena pastikan betul-betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima 600 rehal yang disumbangkan oleh SLT Construction Sdn Bhd dan SLT Woodwork Sdn Bhd di Pejabat UMNO Bahagian Lenggong di sini pada Sabtu.
Sebuah portal melaporkan sebahagian besar keadaan Hutan Simpan Kledang Saiong dijangka berubah apabila rancangan ladang kayu hutan yang dijangka bermula pada tahun ini.
Dengan keluasan 4,280 hektar, ia menyamai kira-kira 5,994 padang bola sepak - projek berkenaan dirangka untuk menjadikan kawasan terbabit sebagai tapak pembangunan dan operasi ladang sehingga 50 tahun.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 28 Disember tahun lalu mengumumkan ia sedang menyemak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek itu, yang dibuka untuk tatapan umum sehingga 26 Januari.
Menurut laporan EIA, projek itu bertujuan untuk menanam hasil hutan dalam bentuk kayu - dengan eucalyptus, khaya dan kelampayan menjadi pilihan utama.
Khamis lalu, Saarani memaklumkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan mendapati lebih 200 hektar pembersihan tanah di Hutan Simpan Saiong adalah milik persendirian untuk pertanian.
Sementara itu, Pengarah syarikat, Mustafar Rahadi berkata, sumbangan yang disampaikan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
"Sumbangan rehal ini diserahkan kepada Menteri Besar selaku Exco agama untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan terutamanya Ramadan bakal menjelang.
"Kita kini sedang membuat meja dan kerusi baharu untuk sekolah-sekolah di Pantai Timur yang terkesan dengan banjir bulan lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!