Isu van sekolah tanpa permit membimbangkan

Nazli Md Taib
Nazli Md Taib
A
A
A

SHAH ALAM - Isu van sekolah yang beroperasi tanpa permit di sekitar negeri Selangor semakin membimbangkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata sejak Januari hingga Mac tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan sejumlah 65 saman kepada pemandu dan pemilik van sekolah yang beroperasi tanpa permit.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 82 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh sama kepada pengusaha van sekolah di negeri ini.

"Di Selangor banyak kes aduan mengenai van sekolah tanpa permit yang membawa pelajar telah diterima dan ia agak membimbangkan.

"Dan disebabkan itu JPJ ada mengambil tindakan berdasarkan aduan yang diterima oleh pihak pengadu mengenai kes van persendirian tanpa permit membawa pelajar sekolah ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, laporan Sinar Xtra mendedahkan terdapat pengusaha bas dan van sekolah di negeri ini yang beroperasi secara haram dan tidak memiliki permit yang sah.

Lebih membimbangkan, ada di antara pengusaha yang turut mengubahsuai van persendirian mereka dengan menyerupai van sekolah bagi menggelakkan aktiviti berkenaan dikesan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Nazli berkata, tindakan saman mahkamah kepada pemandu dan pemilik kenderaan boleh dikenakan atas Kesalahan Salah Guna Lesen Kenderaan Motor (bawa pelajar) di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - kesalahan lain berkaitan pendaftaran dan pelesenan kenderaan motor.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Tambah beliau, operasi terbaru yang dilaksanakan oleh JPJ Selangor berkaitan van sekolah tiada permit adalah pada 23 Januari lalu di sekitar Bandar Kinrara Puchong.

"Sejak 2017 hingga 2019, JPJ menerima banyak aduan mengenai isu ini dan tindakan sentiasa diambil bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!