Jangan salah guna SMS sebar propaganda kerajaan

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan tidak bertanggungjawab menyebar propaganda kerajaan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) adalah tindakan yang tidak boleh diterima kerana ia adalah satu kesalahan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tindakan kerajaan yang dilihat masih berkempen biarpun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah berakhir bagi menjustifikasi kewujudan atau keabsahan Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah yang tidak sepatutnya dilaksanakan.

Menurutnya, usaha menjustifikasi kewujudan pimpinan sedia ada yang disebarkan menerusi SMS rasmi daripada kerajaan boleh disifatkan sebagai tindakan terdesak.

"Ini adalah contoh salah guna kemudahan telekomunikasi kerajaan untuk berpolitik secara halus.

"Propaganda sebegini bagaikan mekanisme kerajaan komunis atau diktator yang mahu mencuci otak rakyat supaya terima naratif pemerintah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan kerajaan menyebar luas propaganda menerusi SMS dengan menyatakan Kerajaan Perpaduan adalah langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang seakan mahu rakyat menerima kerajaan sedia ada dengan hati terbuka.

Sebaliknya, Muhammad Faiz berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan itu seumpama mahu menjelas dan meyakinkan rakyat bahawa pimpinan sedia ada adalah individu tepat dan tidak perlu diragui.

Namun katanya, tindakan itu seolah-olah kerajaan sedia ada berasa takut dan tidak yakin dengan keupayaan, selain meragui penerimaan masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Apakah kerajaan yang ada pada hari ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini?

"Sepatutnya SMS rasmi daripada kerajaan digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang penting untuk orang awam atau hal kecemasan atau sebarang perkhidmatan untuk rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!