Hilang fokus punca Kelantan United tersingkir
KEGAGALAN pemain mengekalkan fokus menjadi punca Kelantan United FC tewas 1-3 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Kota Bharu, malam tadi.
Pengendalinya, Zahasmi Ismail berkata, dua gol dalam tempoh kurang lima minit awal babak kedua ketika anak buahnya sedikit hilang fokus membolehkan pasukan jiran tetangga itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir, pada musim ini.
“Itulah puncanya, saya rasa kekalahan ini disebabkan mereka hilang konsentrasi dan melakukan kesilapan sendiri hanya dalam tempoh lima minit itu.
“Apa pun, saya tetap puas hati dengan komitmen dan semangat juang pemain. Kita tewas dalam 10 minit, bukan 90 minit dan kalau lihat analisis kita 'menang' untuk 45 minit pertama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pada pertemuan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu di depan seawal minit kesembilan menerusi Mohd Rozaimi Azwar Mat Noor tetapi TFC bangkit dalam babak berikutnya hasil gol Sanjar Shaakhmedov (m-50), Tchetche Kipre (m-54) dan Andrew Lee Tuck (m-73).
Menurut jurulatih itu lagi, tiada apa yang perlu dikesalkan dengan kekalahan tersebut sebaliknya dia tetap berbangga dengan kejayaan pasukannya sehingga ke fasa terakhir kalah mati pertandingan itu.
“Kita patut bersyukur kerana dapat mara ke pusingan ketiga, kalah pula kepada pasukan daripada Liga Super. Ini satu pencapaian baik bagi pasukan.
“Mereka (pemain) buktikan bahawa Kelantan United mampu menyaingi pasukan daripada liga teratas seperti TFC ini,” katanya.
Tambahnya, susulan penyingkiran itu, Kelantan United FC akan kembali memberi perhatian penuh terhadap saingan kompetitif Liga M3, musim ini.
“Kita akan tumpu Liga M3 kerana ini cabaran besar dan sememangnya ia sasaran utama Kelantan United untuk meraih kejuaraan, pada musim ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!