Piala AFF: Ribuan peminat bola sepak banjiri Dataran Merdeka

Reaksi para penyokong pasukan Malaysia yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand di Dataran Merdeka malam ini. - Foto: Bernama
Reaksi para penyokong pasukan Malaysia yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara pasukan Malaysia menentang pasukan Thailand di Dataran Merdeka malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A
RIBUAN peminat bola sepak membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan tayangan aksi separuh akhir pertama Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menerusi skrin besar di sini malam ini.

Tinjauan mendapati suasana gamat menggegar lokasi sambutan Hari Kebangsaan itu apabila skuad Harimau Malaya menjaringkan gol pada aksi secara langsung dari Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 8.30 malam ini.

Ibu bapa juga dilihat tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka untuk bersama-sama merasai suasana hangat aksi menentang Thailand itu.

Normardiana Ramli, 40, ketika ditemui berkata, dia menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) bersama tiga anaknya untuk memberi peluang mereka merasai pengalaman berkenaan.

"Anak-anak saya memang nak sangat tengok bola, tapi sebab tiket dah habis, saya bawa juga mereka ke sini walaupun naik LRT. Anak juga merasai semangat kesukanan dan turut menyokong Harimau Malaya,” katanya.

Pengembara rakyat Romania yang juga peminat bola sepak, Tanasie Gabriela, 25, turut tidak melepaskan peluang merasai kemeriahan di sini dengan mengenakan jersi Harimau Malaya.

Menurut Gabriela, dia mengetahui mengenai tayangan berkenaan melalui iklan di televisyen dan hadir bersama tiga rakannya.

Reaksi penyokong pasukan Malaysia yang hadir di Dataran Merdeka bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Malaysia menentang pasukan Thailand. - Foto: Bernama
Reaksi penyokong pasukan Malaysia yang hadir di Dataran Merdeka bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Malaysia menentang pasukan Thailand. - Foto: Bernama



"Pengalaman yang hebat menyaksikan masyarakat tempatan sangat teruja menonton perlawanan itu kerana ia tidak berlaku di negara kami, kami hanya menonton perlawanan bola sepak di stadium.

Artikel Berkaitan:


"Saya dan kawan-kawan adalah peminat bola sepak, sudah tentu kami mahu merasai pengalaman seperti ini di Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama.

Perlawanan menentang Thailand malam ini menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya mengatasi lawan 1-0 menerusi jaringan Muhammad Faisal Abdul Halim.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok pada 10 Januari.

Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!